Dianggarkan satu daripada 1,000 wanita hamil didiagnosis dengan kanser setiap tahun. Bolehkah anda meneruskan kehamilan dan seterusnya menyusukan bayi sebaik dilahirkan?

Sekiranya disahkan menghidap kanser payu dara ketika hamil, anda biasanya hanya berjaya didiagnosis pada tahap berikutnya dan amat jarang sekali ia dikenalpasti di awal kehamilan. Hal ini kerana perubahan hormon menjadikan payu dara menjadi lebih besar, lembut dan berketul. Inilah yang membuatkan anda dan doktor sukar mengesan benjolan di payu dara sehinggalah ia terus membesar. Perubahan awal yang disebabkan oleh kanser amat mudah disalahtafsir kerana ia sering terselindung di sebalik perubahan normal yang berlaku sepanjang tempoh kehamilan.

Dalam kes tertentu, mamogram dapat mengesan kanser. Walaupun kebanyakan doktor khuatir tentang aspek keselamatan, ia tetap selamat untuk anda melakukan ujian ini. Amaun radiasi untuk ujian mammogram masih kecil kerana ia lebih tertumpu kepada payu dara. Oleh yang demikian, ia tidak tersebar ke seluruh bahagian tubuh. Untuk perlindungan tambahan, perisai khas dipakai di bahagian bawah perut untuk menghalang radiasi daripada mengenai rahim. Jadi, berbincanglah dengan doktor tentang pemeriksaan payu dara dan waktu terbaik untuk melakukan ujian ini.

Sekiranya doktor tidak yakin dengan tahap keselamatan untuk anda menjalani mammogram, adalah lebih baik untuk menangguhkannya. Ujian pengimejan lain yang tidak menggunakan radiasi seperti ultrasound payu dara boleh digunakan sebagai ganti. Ia lebih selamat berbanding mammogram jika diperlukan ketika hamil.

Ketulan di payu dara yang dirasai atau keputusan ujian pengimejan yang abnormal akan menimbulkan kebimbangan tetapi biopsi perlu dilakukan untuk mengetahui adakah benar, ia kanser payu dara. Sewaktu biopsi, tisu akan diambil daripada bahagian terlibat. Ia biasanya dilakukan menggunakan jarum yang panjang dan berongga menerusi pembedahan kecil. Doktor akan menggunakan ubat untuk mengebaskan bahagian payu dara yang terlibat sahaja. Namun, biopsi yang dilakukan di bawah penggunaan bius yang menyebabkan anda tertidur boleh meninggalkan risiko kecil ke atas fetus.

Kenal Pasti Tahap Kanser
Jika kanser payu dara ditemui, ujian lain diperlukan untuk mengetahui sama ada sel kanser merebak di keseluruhan payu dara atau bahagian tubuh yang lain. Proses ini dikenali sebagai staging. Ujian ini sangat penting untuk wanita hamil yang menghidap kanser payu dara kerana kanser cenderung untuk menjadi lebih besar dan merebak di luar bahagian payu dara.

Sematkan di fikiran bahawa bayi tidak terdedah kepada radiasi dengan ujian-ujian seperti ultrasound dan magnetic resonance imaging (MRI). Secara umumnya, ujian sebegini selamat dan boleh digunakan. Namun MRI yang menggunakan contrast dye tidak digalakkan ketika hamil kerana boleh menjejaskan bayi dalam kandungan.

X-ray dada kadang-kala diperlukan untuk membantu keputusan dibuat. Ia menggunakan radiasi yang kecil namun masih selamat untuk wanita hamil jika bahagian perut dilindungi. Ujian lain seperti imbasan tulang atau computed tomography (CT) di bahagian dada, perut atau pelvis boleh mendedahkan fetus kepada radiasi. Walau bagaimanapun, ujian ini amat jarang diperlukan. Dalam sesetengah kes, apabila ujian seperti ini perlu dilakukan, doktor akan mengabaikan ujian ini bagi mengelakkan kesan sampingan kepada fetus.

Dalam sesetengah kes, kanser boleh sampai ke plasenta. Jadi, ia boleh memberi kesan kepada amaun nutrisi yang diperoleh bayi namun setakat ini tiada kes yag dilaporkan menunjukkan kanser payu dara boleh dipindahkan oleh ibu ke bayinya.

Rawatan Ketika Hamil
Merawat wanita hamil dengan kanser payu dara sama matlamatnya dengan merawat wanita bukan hamil iaitu mengawal kanser di mana ia bermula dan mengelakkannya daripada terus merebak. Namun usaha untuk melindungi bayi yang dikandung menjadikan usaha mencapai matlamat ini menjadi lebih kompleks.

Jika anda memerlukan kimoterapi, terapi hormon atau radiasi untuk merawat kanser, anda mungkin diminta untuk menggugurkan kandungan. Ini kerana rawatan sebegini boleh memudaratkan bayi. Namun, tiada kajian membuktikan dengan mengakhiri kehamilan untuk melakukan rawatan membolehkan anda untuk terus bertahan hidup. Namun, ini adalah pilihan yang perlu dibincangkan apabila melibatkan jenis rawatan yang bakal dipilih.

Dalam pada itu, sebelum mengambil keputusan untuk melakukan rawatan, doktor terlebih dahulu perlu menyelidiki saiz tumor, kedudukannya, sejauh mana kanser merebak, tempoh kehamilan dan jenis rawatan yang mahu anda pilih.

1.  Pembedahan
Apabila perlu, pembedahan adalah rawatan pertama untuk dilakukan dengan mengeluarkan tumor (lumpectomy) atau keseluruhan payu dara (mastectomy), dan/atau mengeluarkan nodus limfa di bawah lengan. Di sesetengah waktu dalam kehamilan, bius yang digunakan dalam pembedahan mungkin berisiko untuk bayi. Oleh itu, doktor O&G, pakar bedah dan pakar bius perlu bekerjasama untuk menentukan masa terbaik ketika hamil untuk melakukan pembedahan agar anda dan bayi sama-sama selamat.

Mastectomy biasanya menjadi rawatan pilihan pertama untuk kanser tahap awal. Nodus limfa di bawah lengan mungkin dikeluarkan jika terdapat prasangka kanser boleh merebak di bahagian itu. Dalam kes tertentu, sentinel lymph node biopsy (SNLB) juga dilakukan untuk membolehkan doktor mengeluarkan sedikit nodus.

Tetapi, terdapat kebimbangan pengesanan radioaktif yang digunakan untuk SNLB akan memberi kesan kepada bayi jika digunakan ketika perkembangan organnya sedang berlaku.

Bergantung kepada tahap kanser, anda mungkin akan mendapat lebih banyak rawatan seperti kimoterapi, radiasi dan/atau terapi hormon selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko kanser daripada berulang. Ia dikenali sebagai rawatan adjuvant.

Bagi anda yang melalui pembedahan yang tidak memerlukan pembuangan payu dara seperti lumpectomy biasanya memerlukan terapi radiasi selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko kanser daripada kembali.

2.  Kimoterapi
Kimoterapi lazimnya digunakan bersama pembedahan sebagai rawatan adjuvant untuk sesetengah kes payu dara di peringkat awal. Ia juga mungkin digunakan secara bersendirian untuk kes yang lebih teruk. Rawatan ini biasanya tidak diberi sepanjang tiga bulan pertama kehamilan kerana ketika ini organ bayi biasanya sedang berkembang. Apatah lagi, risiko keguguran adalah sangat tinggi ketika trimester pertama.

Apabila anda memerlukan rawatan kimoterapi adjuvant selepas pembedahan, ia biasanya ditangguhkan sehingga trimester kedua. Jika anda sudah berada di trimester ketiga apabila kanser ditemui, kimoterapi akan dilakukan selepas melahirkan. Anda mungkin perlu bersalin dengan bantuan ubatan pencetus kontraksi beberapa minggu lebih awal.

Kimoterapi tidak sepatutnya dilakukan tiga ke empat minggu sebelum melahirkan. Ini kerana salah satu kesan sampingan kimoterapi boleh menyebabkan tekanan darah anda rendah. Ia juga boleh menyebabkan pendarahan dan meningkatkan jangkutan sewaktu melahirkan.

Kajian menunjukkan sesetengah ubat kimoterapi yang digunakan dalam rawatan di trimester kedua dan ketiga tidak meningkatkan risiko kecacatan lahir, kematian lahir atau masalah kesihatan selepas melahirkan. Namun, penyelidik tidak mengetahui sama ada bayi ini akan mendapat kesan dalam jangka masa panjang.

3. Terapi Hormon
Terapi ini sama seperti tamoxifen yang digunakan sebagai rawatan adjuvant selepas pembedahan. Penggunaannya di kalangan wanita hamil belum dikaji, maka kesannya tidak diketahui.

Namun, terdapat laporan bahawa keguguran, kematian bayi dalam kandungan serta kecacatan kepala, muka dan alat kelamin boleh berlaku jika bayi lahir bagi ibunya yang mengambil tamoxifen di awal kehamilan. Oleh kerana itu, terapi hormon untuk kanser payu dara perlu ditangguhkan sehingga selepas anda melahirkan.

4. Terapi Radiasi
Perlu diketahui bahawa dos radiasi yang tinggi boleh memudaratkan bayi bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh hamil. Ia boleh menyebabkan keguguran, kecacatan lahir, perkembangan fetus yang perlahan selain meningkatkan risiko kanser pada anak. Jadi, doktor tidak akan menyarankan terapi ini ketika hamil.