Terima Kasih Ye.. SMS 0199517292..Diskaun Menarik Menanti Anda

^^ JOIN & DAPATKAN DISKAUN UTK SETIAP PEMBELIAN^^

JOM SINGGAH on Facebook



DOA

" YA ALLAH, DENGAN RAHMATMU YANG MAHA PEMURAH LAGI LUAS KASIH SAYANGMU...
AKU MOHON KEPADAMU, AMPUNKANLAH DOSA2 IBU YANG MENYUSUKAN ANAKNYA... LAPANGKANLAH REZEKI MEREKA SEBAGAIMANA ENGKAU MELAPANGKAN REZEKI AKU SEPERTI AKU MENYUSUKAN KEDUA2 ANAKKU. LANCARKAN REZEKI SUSU ANAK MEREKA SEBAGAIMANA ENGKAU MELANCARKAN REZEKI SUSU BUAT ANAK2KU.
SESUNGGUHNYA ENGKAU SANGAT KAYA DENGAN KASIHMU, PERKENANKANLAH DOAKU INI DAN SEMOGA ALLAH MENEMPATKAN KEDUA IBU BAPAKU KE DALAM SYURGAMU... AMIN..."

Sabtu, 10 September 2011

Jimat dan Sihat Kerana Susu Ibu

sumber : pa&ma

Kejayaannya wajar dikagumi. Semua dilakukan demi anak-anak tersayang. Baginya tiada alasan untuk seorang ibu menafikan hak seorang anak untuk mendapat makanan awal terbaik mereka.
Ketika hamil anak pertama empat tahun lalu, Mastura Mohd Isa, 27, masih muda lagi. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk menyusukan anak sendiri. Oleh itu, anak sulung hanya sempat menyusu badan secara eksklusif setakat dua bulan sahaja.
Namun bila hamil kali kedua dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menyusukan anak secara eksklusif. Semuanya hasil pembacaan dan penyelidikan yang dilakukan menerusi internet mengenai kebaikan susu ibu. Pengalaman menyaksikan kakaknya menyusukan anak-anak dijadikan pembakar semangat untuk turut memberikan yang terbaik kepada zuriat tersayang.
Namun Mastura akui kali pertama bergelar ibu dan menyusukan bayi sulung Nur Darleena Humairah yang kini berusia 4 tahun, ia agak mencabar dan sukar. Tetapi menyusukan anak kedua tugas menyusukan menjadi mudah dan menyeronokkan.
Sokongan yang diterima daripada suami benar-benar dihargai kerana ia memainkan peranan penting kejayaan penyusuan bayi secara eksklusif. Begitu juga dengan sokongan daripada keluarga rapat. Bagi Mastura, dorongan mereka semua dapat terus membakar semangatnya untuk menyusukan bayi.
“Saya tidak peduli dengan apa kata orang keliling yang kadang kala mempertikaikan sampai bila saya nak menyusukan anak yang dah besar atau nak mengumpul susu perahan. Bagi saya yang penting anak-anak dapat makanan terbaik seawal usia mereka,” katanya tegas.
Guna Jadual & Graf
Melihat botol-botol susu yang tersusun rapi memenuhi ruang atas peti sejuk di rumah Mastura, sesiapa sahaja pasti terpegun. Stok susu itulah yang diberikan kepada anak keduanya, Nur Marissa Hannah, 2, setiap kali dia keluar bekerja.
Stok susu tersebut sentiasa dipastikan penuh di ruangan sejuk beku tersebut. Katanya tidak sukar untuk ibu-ibu yang menyusukan anak membuat stok tersebut. Berkongsi caranya menghasilkan stok susu, Mastura memberitahu dia mula memerah susu badan untuk dijadikan stok selepas empat hari melahirkan anak.
Bertugas sebagai Penyambut Tetamu di sebuah syarikat swasta memberikan kelebihan kepada Mastura untuk menyusun jadual mengepam susunya. “Dalam sehari biasanya saya mengepam susu sebanyak tiga kali iaitu pada pukul 8 pagi, 12 tengahari, 3 atau 5.30 petang. Saya turut mempunyai jadual mengepam susu yang saya contohi daripada laman web susuibu.com.
Menerusi penggunaan jadual, saya boleh tahu jumlah stok susu simpanan yang saya dapat dalam sebulan. Misalnya saya pernah mengumpul susu terbanyak pada Disember 2010 iaitu sebanyak 500 auns.
Dari situ saya tahu turun naik bekalan susu saya sebab ada graf disediakan. Secara tidak langsung saya juga boleh tahu berapa banyak anak minum susu mengikut usianya. Marissa paling banyak minum susu ketika berusia setahun dua bulan iaitu sebanyak 28 auns sehari,” kongsi Mastura.
Kunci Kejayaan
Sesetengah orang mungkin hairan melihat bagaimana Mastura yang bertubuh kecil molek mampu menghasilkan susu yang banyak untuk anaknya. Sebenarnya saiz fizikal seseorang tidak menentukan kuantiti susu yang dihasilkan. Kunci kejayaan utamanya adalah kerap mengepam susu secara konsisten setiap hari dan kerap menyusukan secara terus.
“Semasa penyusuan kita tidak dapat lari daripada melalui fasa-fasa cabaran penyusuan. Bukan mudah untuk berjaya namun balik kepada hati, jika mahu semua boleh jadi.
Keperluan rohani dan jasmani perlu seimbang. Penyusuan dapat dilaksanakan dengan baik. Sentiasa berfikiran positif, meningkatkan sesi mengepam, kerap menyusukan dan mengepam maka susu banyak boleh dikumpulkan,” kongsi Mastura.
Di samping itu pemakanan ibu turut memainkan peranan penting menentukan kejayaan penyusuan. Dia sendiri sangat disiplin menjaga pemakanannya semasa dalam pantang dan enam bulan selepas itu.
“Saya banyak makan ulam-ulaman, minum susu, makan jintan dan lada hitam yang saya akan masukkan dalam semua jenis masakan saya dan minum teh herba membanyakan susu,” katanya yang turut mengamalkan makan kurma sebiji dan minum susu setiap kali bersahur di bulan Ramadan.
Jimat Belanja
Jika ibu lain perlu memperuntukkan duit setiap kali berbelanja untuk membeli susu anak, Mastura hanya tersenyum sahaja kerana dia tidak pernah membeli sebarang susu formula untuk anak-anaknya.
Sewaktu awal bergelar ibu, dia hanya melaburkan beberapa ratus ringgit sahaja untuk mendapatkan pam payu dara yang masih digunakan sehingga sekarang untuk membekalkan susu badan kepada anaknya.
“Saya menggunakan pam payu dara manual jenama Avent yang saya beli masa mengandung lima bulan anak kedua. Pertama kali tengok pam tu saya terus jatuh suka dan membelinya.
Walaupun orang kata guna pam berganda elektrik lebih bagus untuk hasilkan banyak susu tapi saya tetapi yakin yang manual ini serasi dan terbaik untuk saya. Buktinya saya berjaya menyusukan anak-anak secara eksklusif hingga sekarang,” ujarnya sambil tersenyum yakin.
Kebaikan susu ibu sering dikaitkan dengan anak yang jarang dijangkiti demam dan selesema. Ia diakui sendiri oleh Mastura tetapi tegasnya ia bukan bermakna anak tersebut langsung tidak boleh jatuh sakit sebaliknya jarang dijangkiti demam dan selesema.
“Ini kerana anak kedua saya pernah mendapat jangkitan kuman paru-paru dan ditahan di hospital. Akibatnya ramai kenalan yang mempertikaikan kenapa anak saya yang minum susu ibu secara eksklusif boleh dijangkiti kuman.
Bila merujuk kepada pakar laktasi, katanya tidak semestinya anak tidak boleh kena penyakit. Tapi anak kedua saya memang jarang kena demam, selesema atau batuk. Pertama kali dia demam pun masa umur 8 bulan,” katanya yang bertekad untuk menyusukan anak selagi masih ada susu dan anak masih mahu menyusu.
Dia yang sering menjadi tempat rujukan kawan-kawan sepejabat yang baru lepas bersalin turut bersyukur kerana dapat membantu insan lain dalam soal susu badan.
“Seorang kawan meminta tolong agar saya menolong kawannya yang mempunyai masalah untuk menyusukan bayinya. Saya fikir apa salahnya, lagipun susu saya banyak. Jadi saya nekad untuk menjadi ibu susuan kepada bayi itu,” ceritanya.
Pesan Mastura kepada wanita yang bakal bergelar ibu agar sudah menetapkan dalam fikiran untuk menyusukan anak dengan susu ibu apabila dia lahir.“Tiada apa yang mustahil tentang penyusuan susu ibu. Yang penting kita perlu ada ilmu, sokongan, latihan dan tahu kebaikan di sebalik penyusuan susu ibu,” akhirinya dengan senyuman puas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...